Sunday, January 13, 2008

Tolak pemimpin tidak beretika, ganas - Dr. M

Tolak pemimpin tidak beretika, ganas - Dr. M

13/01/2008 3:50pm

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) — Golongan yang mengunakan cara tidak beretika dan malahan keganasan untuk mencapai cita-cita mereka menjadi seorang pemimpin patut ditolak sepenuhnya, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata sesiapa yang mahu menjadi pemimpin sepatutnya cuba memiliki kualiti yang betul tetapi beliau tidak semestinya berjaya.

“Cara bagaimana beliau mengendalikan kegagalannya akan menunjukkan sama ada beliau benar-benar memiliki kualiti berkenaan,” katanya pada persidangan mahasiswa di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata: “Mungkin terdapat 1,000 orang di Malaysia yang memiliki kualiti kepimpinan yang baik tetapi mereka tidak berjaya hanya kerana keadaan tidak memihak kepada mereka,” katanya.

Sebaliknya, katanya mungkin terdapat mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang lemah tetapi mereka mungkin menjadi pemimpin kerana kepimpinan diamanahkan kepada mereka.

Dr. Mahathir menggariskan tujuh kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik, iaitu:

i. Seorang pemimpin yang baik tidak semestinya merendah diri tetapi sekurang-kurangnya tidak bercakap besar.

ii. Beliau mesti bersedia menerima tanggungjawab tetapi tidak boleh terlalu mendesak dan berkeras dalam memimpin.

iii. Beliau tidak harus menyalahkan orang lain bagi kegagalan tetapi mengakui kelemahan diri sendiri. Beliau tidak harus menunding jari atau mencari seseorang untuk dipersalahkan.

iv. Beliau patut bersikap luhur dan tidak pentingkan pujian dan kemasyhuran.

v. Beliau patut tahu bagaimana mengendalikan pengikutnya begitu juga pihak atasan. Beliau perlu sensitif dengan sensitiviti orang lain.

vi. Beliau patut bersedia melakukan yang diharapkan oleh orang lain untuk beliau laksanakan. Beliau patut mendukung slogan kepimpinan melalui teladan.

vii. Beliau perlu bijak dan lebih pintar sekurang-kurangnya berbanding orang yang berada di bawah pimpinannya.

Dr. Mahathir berkata seorang pemimpin perlu mempunyai banyak idea, idea untuk hala tuju kepimpinan, idea mengenai perkara yang beliau dan pengikutnya perlu lakukan atau capai dan idea untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dan persekitaran mereka.

Sama penting ialah beliau perlu tahu bagaimana untuk menjadikan idea itu menjadi kenyataan, katanya.

Beliau berkata seorang pemimpin perlu sedar dengan keperluan dan kehendak orang ramai, menilai mereka dan memberi panduan yang betul kepada mereka dan merancang serta melaksanakan objektif berkenaan bersama-sama pengikutnya dengan jayanya.

“Kepimpinan yang baik jelas amat penting. Kita jarang dapat mengenal pasti pemimpin yang baik dari awal bagi membolehkan kita membuat pilihan yang betul. Rakyat Jerman yang memilih Hitler tidak tahu beliau akan menjadi pemimpin jenis macamana.

“Sebaliknya, pemimpin yang akhirnya muncul sebagai pemimpin yang baik menghadapi banyak kesulitan dalam memenangi sokongan rakyat pada awalnya.

Malahan Nabi (Muhammad s.a.w) dibaling dengan batu oleh penduduk Taif ketika baginda mula menyebarkan ajaran agama Islam,” katanya.

Beliau berkata kebangkitan dan kejatuhan negara-negara terkemuka dan yang pasti kebangkitannya adalah disebabkan kepimpinan yang baik.

“Apabila pemimpin tidak cekap, negara akan jatuh. Rakyatnya mungkin sama, latar belakang dan kekayaan dan sumber mungkin sama, tetapi apabila pemimpinnya tidak cekap atau lemah, dengan itu negara-negara terkemuka, malahan empayar besar pun boleh jatuh,” kata Dr. Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Dr. Mahathir berkata tidak kira betapa seseorang itu cuba mempamerkan kualiti dan ciri-ciri pemimpin yang baik, ia bukan jaminan yang mereka tidak mungkin melakukan kesilapan.

“Dan begitu juga, tidak kira berapa banyak yang kita belajar mengenai kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik, masih tidak mustahil yang kita memilih pemimpin yang salah,” katanya.

Monday, November 5, 2007

Abdullah Gul

Bersempena Aidil Fitri baru-baru ini Presiden Turki Abdullah Gul telah melangsungkan perkahwinan anak perempuannya Kubra Gul di Istanbul. Abdullah merupakan bekas Menteri Luar kerajaan AK pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan yang diketahui cenderung kepada ideologi Islam, sesuatu yang malangnya asing dalam Turki moden yang sekular sejak kemunculan Mustapha Kamal Atartuk.


Isteri Abdullah, merupakan isteri presiden yang pertama yang mengenakan pakaian menutup aurat, suatu amalan yang dikawal ketat oleh undang-undang dan peraturan Turki.


Kubra mencium tangan Abdullah diperhatikan oleh suaminya dan PM Erdogan

Namun kesungguhan Abdullah dan Perdana Menteri Erdogan melalui parti AK untuk memperkenalkan kembali Islam, di bumi yang telah menghapuskan saki-baki daulah Islamiah dizaman Mustapha Kamal itu, dilakukan dengan penuh cermat dan berhati-hati. Sesungguhnya kewibawaan dan ketokohan kedua-dua pemimpin ini, yang bersih dan berakhlak telah berjaya menawan hati majoriti rakyat Turki yang dahagakan kepimpinan seumpama itu.

Cuba kita lihat upacara perkahwinan anak Presiden ini. Menurut sebuah akhbar Turki majlis yang diadakan di Istanbul Preformance and Congress Centre itu telah dihadiri oleh lebih 4,500 orang tetamu. Tetapi atas arahan Abdullah majlis itu diadakan dalam keadaan serba sederhana.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh Datuk Bandar Istanbul Kadir Topbas dengan Perdana Menteri Erdogan dan bekas Speaker Parlimen Bulent Arinc sendiri bertindak sebagai saksi.

Abdullah telah mengarahkan agar tidak ada jambangan bunga diberikan sebagai hadiah. Jika ada juga yang berhajat berbuat demikian, mereka diminta menanam sebatang pokok di hutan simpan di Kayseri, iaitu kampung Abdullah dan menurut laporan telah lebih 1,000 batang pokok ditanam bagi tujuan itu. Dan menurut sebuah lagi laporan selain dari barang kemas yang dihadiahkan oleh ahli keluarga, kebanyakkan hadiah lain telah disedekahkan atas arahan Abdullah kepada keluarga anggota tentera Turki yang terkorban semasa menjalankan tugas.

Dan menurut sebuah lagi akhbar, Abdullah tiba ditempat upacara dengan menaiki kenderaan persendirian, bukannya kenderaan rasmi Presiden. Kata Abdullah beliau menghadiri majlis anaknya itu sebagai seorang bapa dan bukannya Presiden Turki.

Subahanallah demikianlah akhlak Presiden Turki, Abdullah Gul.

Dan sudah pastilah anak beliau dan hampir kesemua tetamu yang hadir dimajlis tersebut berpakaian menutup aurat sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam. Begitulah kalau kita bersungguh mahu kembali kepada Islam, walaupun perlembagaan negaranya menjunjung sekularisma, namun cahaya Islam terus diketengahkan dengan berani dan penuh hikmah oleh para pejuangnya dengan harapan satu hari nanti rakyat Turki sendiri akan sedar dan bangun membawa perubahan menyeluruh.

Wednesday, October 24, 2007

KHUTBAH 2

Saudara-saudara dan anak-anakku yang dikasihi sekalian,

ALLAH sangat memerintahkan kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Hingga untuk itu ALLAH membuat macam­macam janji muluk untuk siapa yang bertaqwa. Memetik dari ayat-ayat Al Quran, saya akan senaraikan janji janji ALLAH

untuk hamba-Nya yang bertaqwa. Antaranya:

1. Diajarkan ilmu.

2. Amal ibadah diterima.

3. Dilepaskan dari kesusahan.

4. Diberi rezeki yang tidak terduga.

5. Urusan-urusan dipermudah.

6. Tidak dapat ditipu oleh musuh lahir dan batin.

7. Kerja-kerjanya dibaiki dan dibantu oleh ALLAH.

8. Makhluk takut dan segan.

9. ALLAH membela.

10. Dibuka berkat dari langit dan bumi.

11. Diampunkan dosa.

12. Dimasukkan ke Syurga.

13. Terhindar dari Neraka.

Taqwa adalah sumber bagi segala kekayaan. Kekayaan dan keselamatan dunia dan Akhirat. Memiliki taqwa ertinya memiliki segala-galanya. Yakni segala kesenangan lahiriah dan batiniah. Orang bertaqwa, dengan jawatan tinggi yang di­miliki, dia tidak sombong. Orang bertaqwa, dengan kekayaan yang dipunyai, dia tidak bakhil. Orang bertaqwa, dengan ilmu yang tinggi, dia tidak berlagak dan takabur. Orang bertaqwa, kalau miskin akan redha dan tidak hasad dengki. Demikian seterusnya.

Alangkah hebat dan bijaknya orang-orang yang memburu taqwa dalam hidup mereka. Kerana taqwa mengatasi nilai pangkat, degri, gaji besar, banyak harta dan lain-lain lagi. Taqwa adalah satu darjat tertinggi di sisi ALLAH, yang kalau manusia memperolehinya, jadilah ia semulia dan seagung­agung manusia. ALLAH berfirman:

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah yang paling bertaqwa.(Al Hujurat: 13)

Sidang jemaah sekalian,

Sifat kehidupan orang bertaqwa berbeza sekali dengan cara hidup mereka yang tidak bertaqwa. Bezanya bagaikan langit dengan bumi. Demikianlah dalam rumahtangga, dalam jemaah, dalam negeri atau negara yang masyarakatnya ber­taqwa, banyak perkara-perkara pelik atau keramat atau maunah berlaku. Dengan adanya taqwa dalam diri pemimpin dan ma­syarakat, maka ALLAH akan datangkan pertolongan ghaib yang luar biasa. Hingga jadilah negara itu seperti yang ALLAH firman:

Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH.(Saba': 15)

Untuk melihat dengan jelas ciri-ciri negara tersebut, mari kita rujuk kepada sejarah di zaman salafussoleh dan zaman pemerintahan Sayidina Umar Abdul Aziz:

1. Dari segi keamanan, manusia hidup penuh dengan kasih sayang. Tidak ada jurang dan kasta dalam masyarakat. Tidak ada tekan-menekan atau jatuh-menjatuhkan, seperti apa yang ada dalam masyarakat hari ini. Bahkan, berkat taqwa yang ada pada pemimpin yang dijanjikan, berlakulah khawariqul `adah (perkara-perkara di luar kebiasaan) hinggakan bina­tang-binatang tidak bergaduh lagi. Serigala tidak lagi makan kambing, kucing bermain-main dengan tikus.

2. Dari segi kemakmuran pula, disebabkan rezeki dari langit dan bumi melimpah-ruah, maka pokok-pokok subur memberi banyak hasil, lembu dan kambing gemuk menge­luarkan banyak susu dan daging. Nelayan ke laut pulang dengan bakul penuh berisi. Sebab ikan melompat-lompat masuk ke jaring dan pukat. Minyak dan galian keluar dari bumi. Dihindarkan dari bala bencana dan lain-lain.

3. Dari segi keampunan ALLAH, waktu sembahyang, semua kedai ditutup tanpa berkunci. Maksiat tidak ada. Aurat ditutup. Pergaulan bebas tidak berlaku sekalipun di jalanan.

Para pendengar yang budiman,

Sejarah yang sungguh indah dan luar biasa itu, bolehkah berlaku di zaman kita ini? Adakah harapan bagi kita mengecapi nikmat hidup yang demikian itu? Jawabnya, insya-ALLAH berdasarkan janji ALLAH untuk umat akhir zaman. Memang negara-negara di Timur terpilih sebagai tempat berulang kembali sejarah tersebut. Para pemerhati sejarah dari berbagai bangsa dan agama sudah setuju bahawa zaman itu bermula sekarang ini. Islam yang bangkit hasil dakwah dan tarbiah telah mengubah masyarakat jahiliah kepada cara hidup Islam. Hal ini begitu ketara berlaku di Malaysia dan Indonesia terutamanya. Nampak ianya sedang berkembang pesat.

Maka di sini saya ingin mengambil kesempatan menyeru lagi umat Islam, mari kita tingkatkan taqwa kepada ALLAH. Kerana dengan taqwa saja kejayaan besar yang kita rindukan akan tercapai. Yakni kita akan mengecap nikmat berada dalam negara yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH.

Di sepanjang Ramadhan kita telah mengusahakan taqwa. Tapi tanpa menempuh lima disiplin yang disebutkan tadi, rasanya taqwa itu tidak akan diperolehi. Moga-moga di luar Ramadhan ini kita usahakan lagi untuk dapatkan taqwa melalui lapan syarat taqwa seperti yang sering kita sebutkan sebelum ini iaitu:

1. Dapat petunjuk dari ALLAH SWT.

2. Faham tentang Islam.

3. Yakin.

4. Melaksanakan.

5. Mujahadah.

6. Istiqamah beramal.

7. Ada pimpinan mursyid.

8. Berdoa pada ALLAH.

Kalau kita bersungguh-sungguh, moga-moga janji itu berlaku di tangan kita. Amin!


KHUTBAH HARI RAYA AIDIL FITRI

Mengapa kita tidak mendapat hasil yang 
sepatutnya daripada didikan Ramadhan

Wahai kaum Muslimin, saudara-saudaraku yang dikasihi sekalian,

Pada pagi ini, 1 Syawal 1414 tahun Hijriah, kita masih lagi dihidupkan dan dapat bersama-sama menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Ertinya, bulan Ramadhan tahun 1414 telah pergi meninggalkan kita. Sedihnya hati ditinggalkan oleh bulan yang sangat besar dan maha berkat itu. Bulan mulia, kerana kitab Al Quran diturunkan di dalamnya. Bulan yang dikurniakan Lailatul Qadar yang sangat besar nikmatnya. Bulan puasa yang telah jadi tradisi pada setiap umat dahulu dan kemudiannya. Bulan mujahadatun nafsi yang lebih dari bulan-bulan lain. Bulan yang digandakan pahala bagi setiap amalan.

Sesungguhnya bulan Ramadhan itu sangat besar ertinya kepada kehidupan kita kaum Muslimin, kerana di dalamnya penuh dengan ilmu, tarbiah, falsafah dan hikmah. Walaupun ia telah pergi namun la meninggalkan kesan yang berbagai­bagai kepada kita. Sebab itu ALLAH jadikan bulan itu cuma sekali dalam setahun. Cukup membekalkan kepada kita keperluan hidup untuk setahun. Macam orang masuk kursus selama sebulan, maka hasilnya cukup untuk menampung keperluan selama satu tahun. Yakni, bilamana kursus itu dihayati betul-betul.

Bagi orang Mukmin, Ramadhan sangat penting dan di dalamnya mereka mengambil segala dan sebanyak-banyak tarbiah, ilmu, falsafah dan hikmahnya, buat bekalan hidup. Marilah kita berdoa supaya ALLAH panjangkan umur kita hingga bertemu pula dengan bulan Ramadhan tahun hadapan. Moga-moga kita dapat lagi mengecap kemuliaan yang ada di dalamnya.

Sidang jemaah sekalian,

Di antara kenangan manis yang ditinggalkan oleh bulan Ramadhan kepada kita ialah bertambahnya ilmu Al Quran kita. Kerana sebulan lepas kita membaca dan mengulang kaji isi-isi Al Quran itu. Begitulah setiap kali Ramadhan datang, kita jadi rajin untuk membaca Al Quran itu. Bagi kita yang sudah tua-tua ini, sudah banyak kalilah kita dapat khatam mengulang kaji isi Al Quranul Karim itu. Sebab sudah banyak kali kita menempuh bulan tersebut.

Mengulang kaji ilmu Al Quran itu ialah bilamana kita benar-benar memahami bacaan-bacaannya. Membaca dengan faham, ertinya dapat ilmu. Bila diulang baca, ertinya menam­bahkan ilmu. Jadi kalau banyak kali kita dapat berhadapan dengan Ramadhan, dapat pula membaca Al Quran dengan faham, ertinya kita sentiasa dapat menambah ilmu Al Quran. Yakni ilmu yang tersurat dan tersirat. Segala macam ilmu dunia dan Akhirat.

Ilmu-ilmu itu di antaranya ialah ilmu aqidah iaitu keimanan dan keyakinan, ilmu hukum-hakam atau syariat, ilmu tasawuf dan akhlak, ilmu sejarah, ilmu psikologi, ilmu masyarakat, ilmu falsafah, ilmu pendidikan, ilmu ekonomi, ilmu perhu­bungan, ilmu sains, ilmu kedoktoran, ilmu manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain lagi.

Mana ada satu kitab yang dapat menggabungkan segala bentuk ilmu sepertimana Al Quran melakukannya. Mana ada mahaguru yang dapat menggabungkan segala macam ilmu dalam satu kitab seperti yang ALLAH lakukan?

Sesungguhnya Al Quran adalah kitab besar kaum Muslimin. Diturunkan oleh Mahaguru Yang Maha Besar melalui pesuruhNya. Sebab itu ilmu Al Quran, kalau diamalkan dalam hidup kita, maka melalui pengalaman kita, ia terjamin boleh memberi keselamatan, yakni keselamatan dunia dan Akhirat. Sedangkan ideologi-ideologi selain Al Quran yang nampaknya begitu bagus dan lojik, terbukti bila diamalkan timbul macam-macam masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Ertinya, ilmu akal itu tidak praktikal. Sebab tidak semua yang cantik dan lojik itu benar dan tidak pula yang benar itu mesti lojik. Misalnya, ada orang kata, dia mahu cari wang atau gaji besar, supaya mudah ia berkorban di jalan ALLAH. Cantik dan lojik sekali pandangan itu, bukan? Tetapi cuba kita lihat dalam pengalaman, berapa orang saja yang bila dapat harta terus dikorbankannya ke jalan ALLAH?

Sungguh ilmu Al Quran itu benar dan dapat membawa keselamatan kepada umat manusia. Bukan saja orang Islam yang diselamatkan, bahkan orang bukan Islam pun kalau menerima dan mengamalkan ilmu Al Quran ini akan selamat di dunia. Namun kerana mereka tidak tukar aqidah, tetaplah tidak selamat di Akhirat.

Saudara-saudara dan anak-anak yang dikasihi sekalian,

Ilmu Al Quran bilamana dilaksanakan sebagai cara hidup atau sistem hidup secara syumul, pasti akan selamat dan menyelamatkan sekalipun kepada orang yang bukan Islam. Mereka akan selamat di dunia, sebab sifat sistem itu menyelamatkan. Maka siapa pun yang bernaung di bawahnya pasti selamat. Samalah dengan sistem yang tidak menyelamatkan. Siapa yang berada di dalamnya pasti tidak selamat. Macam sistem sekular Barat yang menguasai dunia hari ini. Sekalipun yang mengamalkannya umat Islam, pasti tidak selamat.

Apalagi orang-orang kristian, buddha, hiddu, jawa kuno dan lain-lain yang mengamalkan cara hidup sekular seperti hari ini, semuanya mengaami kerosakan akhlak, kemiskinan, salah guna kuasa dan lain-lain lagi. Sedangkan di dalam sistem Islam, baik sistem sosial, politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, kesihatan dan lain-lain lagi, semuanya membawa kebaikan dan keselamatan. Masyarakat aman damai dan berkasih sayang, ekonominya tidak ada penindasan dan penipuan, pendidikannya melahirkan orang bertaqwa. Yakni manusia akan mencintai Akhirat, dunia dijadikan alat.

Dengan itu lahirlah manusia yang benar-benar bertamadun dalam kehidupan manakala rohaniahnya bersih dan mem­buahkan akhlak yang mulia. Inilah kesempurnaan pem­bangunan yang terbukti perlaksanaannya dalam Islam melalui ilmu Al Quran. Sedangkan ilmu-ilmu lain tidak ada kemampuan ini. Dengan itu, sedarlah kita betapa besarnya kasih sayang ALLAH kerana mengutuskan Rasulullah untuk membawa kitabNya sebagai rahmat terbesar untuk alam.

Firman-Nya:

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Al Anbiya': 107)

Sesungguhnya Al Quran ini memimpin kepada yang lebih benar dan menyampaikan berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan perbua­tan baik, bahawa mereka akan memperolehi pahala yang besar.(Al Israk: 9)

Sebab itu bilamana kita membaca Al Quran di bulan Ramadhan, ertinya kita menambahkan ilmu-ilmu besar, yang bermacam-macam jenis, yang sangat hebat peranan dan kemuliaannya. Bertambahnya ilmu tentu membawa kepada bertambahnya amalan dan perlaksanaannya dalam seluruh aspek hidup kita. Makin matang ilmu itu, kerana makin selalu membaca Al Quran, tentu makin mantap dan halus per­laksanaannya. Dan akan jadi makin cantik dan indahlah hidup kaum Muslimin. Dunia mereka akan menjadi Syurga sementara (Jannatul Ajilah). Kerana di Akhirat akan mendapat Syurga yang kekal, yang lebih indah.

Wahai para jemaah yang diberkati,

Demikianlah sepatutnya terjadi kepada umat Islam di setiap Ramadhan setiap tahun. laitu bertambahnya ilmu Al Quran dan meningkatnya kehidupan Islam dalam masyarakat kita. Namun kita sedih, kerana apa yang sebenarnya terjadi bukanlah begitu. Bacaan Al Quran kita di bulan Ramadhan tidak pun menambahkan ilmu ALLAH dalam diri kita dan juga tidak pun meningkatkan perlaksanaan hukum Islam kita di dalam kehidupan seharian.

Buktinya, seperti yang dapat kita saksikan dengan jelas, yang sedang berlaku dalam kehidupan masyarakat kita ialah krisis setiap hari berlaku terutama di kalangan orang politik, pendedahan aurat dan pergaulan bebas masih berleluasa, ekonomi kita belum bersih dari riba dan penindasan serta belum terlepas daripada mainan kapitalis. Pendidikan belum dapat melahirkan manusia yang beradab dan membangun (hal ini telah diakui dan diungkap sendiri oleh sebahagian pemimpin negara kita).

Perhubungan umat Islam dalam satu negara atau antara negara dengan negara belum begitu baik. Peperangan sesama umat Islam masih terjadi. Fitnah, kata-mengata dan tohmah masih jadi budaya. Hidup nafsi-nafsi sangat terserlah. Hidup kasta-kasta dan kelompok-kelompok masih merebak. Tegasnya, kejujuran dan keadilan secara menyeluruh belum pun terjadi dalam kehidupan kita. Sebab itu ALLAH menimpakan bermacam-macam bala bencana dalam masyarakat. Lepas satu, satu lagi bencana menimpa. Lihatlah firman ALLAH:

Berapa banyaknya kota yang Kami telah binasakan,yang penduduknya dalam keadaan alim, maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya dan (berapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi. Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mem­punyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.(Al Haj: 45-46)

Hal keadaan umat Islam tiada jauh bezanya dengan orang bukan Islam. Bahkan dari segi kehidupan dunia, nyata sekali orang-orang bukan Islam mengatasi umat Islam. Sedangkan ALLAH berjanji bumi ini hendak diserahkan pada hamba-hambaNya. Firman-Nya:

Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauhul Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang soleh.(Al Anbiya': 105)

Tetapi mengapa janji ALLAH itu belum pun terjadi? Jawabnya ialah kerana kita umat Islam tidak mengikut petunjuk Al Quran. Kita ambil kulit lahir dari Al Quran tetapi tidak mengambil isinya. Kita hafal dan syarahkan ayat-ayat Al Quran tetapi kita tidak beramal dengannya. Sebab itu kita tidak menjadi peribadi Al Quran. Akal, jiwa dan fizikal kita tidak terbentuk oleh Al Quran. Tetapi lebih dicorakkan oleh sekularisme.

Sebab itu cara hidup kita lebih bersifat sekular daripada bersifat Islam atau Al Quran. Di waktu pejuang-pejuang Islam meriuh-rendahkan sistem hidup Islam, mereka tidak pun menyiapkan peribadi-peribadi Al Quran yang boleh menjayakan sistem tersebut. Walhal tentu mereka maklum bahawa sistem hanya berlaku kerana ada manusia-manusia yang mencetuskannya.

Sistem tidak terjadi secara tiba-tiba dan ajaib (miracle). la perlukan proses awal pembinaannya oleh orang-orang yang mahu melakukannya. Sistem Al Quran hanya terjadi dalam realiti bilamana lahir ke dunia ini manusia-manusia Al Quran bergerak. Yakni Nabi Muhammad SAW bersama Sahabat­Sahabat baginda. Selagi Al Quran tidak difahami bacaannya, juga tidak diamalkan dalam kehidupan, maka selama itulah kita akan hidup dalam suasana krisis, huru-hara, gelisah, maksiat dan mungkar. Dan juga berada dalam kemurkaan ALLAH SWT. Ingatlah firman ALLAH dalam surah Al Haj ayat 41:

(laitu) Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (Al Haj: 41)

Sidang pendengar yang budiman,

Pada Hari Raya ini, di samping kita menziarahi sahabat­handai dan sanak-saudara, kita juga patut membuat koreksi diri. Kerana di antara cara-cara mengisi Hari Raya ialah mengenang-ngenang dan menilai kembali hasil yang kita perolehi dari bulan Ramadhan. Apakah kita mendapat apa yang se­patutnya kita dapat atau sebaliknya. Dari sana tahulah kita apakah kita layak bergembira di Hari Raya ini. Tadi saya telah katakan bahawa sepatutnya di bulan Ramadhan, ilmu kita akan bertambah. Yakni ilmu Al Quran yang kita baca. Yang mana dengan ilmu yang makin bertambah dan makin matang, perlaksanaanya pun makin halus, maka sepatutnya kita mendapat berkat yang banyak di bulan yang dikatakan bulan berkat itu. Dan sepatutnya kita jadi bertambah mulia. Kerana memasuki bulan yang sangat mulia itu. Juga sepatutnya kita menjadi semakin pemurah sebagai hasil berpuasa. Kerana puasa itu adalah untuk melahirkan rasa timbang rasa kepada fakir miskin. Dan sepatutnya kita juga mendapat rasa ke­harnbaan dan tawadhuk dalam pergaulan hasil dari berpuasa. Kerana puasa boleh mengikis rasa sombong, angkuh, takabur dan hasad dengki dari dada manusia. Hingga tercetuslah kasih sayang dan perpaduan sebenar dalam masyarakat. Hasil dari latihan berpuasa sebulan Ramadhan.Tetapi sedih sekali, kerana apa yang sepatutnya terjadi, tidak pun terjadi. Kita tidak mendapat hasil yang patut didapati daripada menempuh Ramadhan.

Mengapakah terjadi demikian? Mengapa ilmu tidak bertambah walaupun membaca Al Quran? Mengapa perlaksanaan Islam tidak meningkat sedangkan sudah berkali-kali kita dilatih oleh Ramadhan? Mengapa akhlak umat Islam tidak berubah-ubah dari jahat kepada baik? Mengapa perpaduan sebenar sebagai saudara seIslam tidak berlaku? Bahkan krisis menjadi jadi. Mengapa kemungkaran masih bermaharajalela, mencengkam dan mencekik kehidupan kita? Ya, mengapa dan mengapa segala persoalan negatif ini masih belum dapat diatasi? Sedangkan peranan Ramadhan ialah untuk mendidik manusia menyelesaikan semua masalah ini?

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Tentu ada yang tidak kenanya dengan bacaan Al Quran kita, dengan puasa dan mujahadah kita itu. Yakni dalam berhadapan dengan Ramadhan yang lalu. Mari kita mencari puncanya. Supaya bila kita berhadapan dengan Ramadhan akan datang, yakni kalau ALLAH panjangkan umur kita setahun lagi, kita akan menghadapi dan menghayatinya dengan betul. Kita dapat memenuhi syarat-syaratnya dengan sempurna. Supaya kita dapat menikmati isi-isi dan roh Ramadhan, bukan kulit lahirnya sahaja. Sebab ALLAH hanya memberi pahala kalau kita dapat menempuh syarat dan adabnya sahaja. Yang mana kalau fikiran dan jiwa kita berubah, hasil melakukan ibadah sepanjang Ramadhan, kita akan mendapat pahala yang besar dan penghapusan dosa-dosa.

Jadi sekarang saya akan cuba senaraikan dengan izin ALLAH, sebab-sebab mengapa kita tidak mendapat hasil yang sepatutnya daripada didikan Ramadhan. Supaya kita dapat mengusahakannya untuk tahun-tahun yang akan datang, insya­ALLAH.

1. Umat Islam ramai lagi yang tidak membaca Al Quran walaupun di bulan Ramadhan. Ramai juga yang membacanya tetapi oleh kerana ianya dalam bahasa Arab, maka tidaklah difahami ertinya. Sedikit sekali umat Islam yang berusaha membaca terjemahan Al Quran dan tafsirannya. Sebab itu ramai sekali umat Islam yang tidak ada pada mereka ilmu Al Quran. Kalau ada, tidak pula bertambah-tambah ilmunya. Bila ilmu tidak ada, dengan apa umat Islam hendak tegakkan Islam? Macam orang hendak berperang tetapi tidak ada senjata, macam mana hendak berperang?

2. Dalam hal puasa, umumnya umat Islam hanya tidak makan dan tidak minum. Yakni puasa lahir sahaja. Sedangkan batinnya tidak berpuasa. Akalnya tidak pun dikawal dari ber­fikiran jahat dan hati atau rohnya dibiarkan kotor dengan mazmumah. Yakni tidak cuba dibersihkan dari sifat-sifat keji. Matanya dibiarkan liar, lidahnya celupar, telinga dibuka lebar, semua boleh masuk sekalipun maksiat. Sedangkan puasa batin ini sama penting dengan puasa lahir. Maka kalau tidak di­lakukan, ertinya manusia itu tidak berpuasa dan tidaklah ada hasilnya. Maksiat pun terus menjadi jadi. Rasulullah SAW bersabda:

Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak men­dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga. (Riwayat An Nasai' dan Ibnu Majah)

3. Ada juga umat Islam yang cuba melakukan puasa batin itu, kerana mereka ada ilmu tentangnya. Tetapi sering gagal. Mereka tidak dapat menundukkan akal, roh, mata, telinga dan lidah kepada kehendak ALLAH. Sebab tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh mujahadah. Hasilnya, nafsu jugalah yang menang hingga maksiat dan dosa tidak dapat dikawal.

4. Sembahyang sunat Tarawih, agak ramai yang melakukannya tetapi tidak dengan khusyuk dan tawadhuk. Maka jadilah ibadah itu seperti pokok yang tidak berbuah. Ertinya, bertambah sembahyang tapi tidak bertambah rasa kehambaan kepada ALLAH. Maka akhlak tidak berubah.

5. Kebaikan yang dibuat di dalam maksiat tidak akan berkat dan tidak membawa hasil yang sepatutnya. Kalau di bulan Ramadhan, kita masih terlibat dengan maksiat di tempat kerja atau di rumah dan lain-lain tempat yang ada maksiat di dalamnya, puasa kita pun tidak berhasil. Macam buat rumah atas lumpur, mana boleh tahan!

Itulah dia lima perkara penting yang perlu dilakukan di bulan Ramadhan, supaya ibadah kita benar-benar berkesan. Yakni mencapai matlamat Ramadhan yang sebenar. Apakah matlamat yang dimaksudkan? laitu berdasarkan firman ALLAH:

"Wahai orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu jadi orang yang bertaqwa. "(Al Baqarah: 183)

Ya, matlamat ibadah Ramadhan ialah menjadikan kita umat yang bertaqwa.


Tuesday, October 9, 2007

Apa kata anda?

Luang-luangkan masa untuk lihat video di ruangan 'Macam-macam Malaysia'..
Kemudian postkan apa kata anda..
Sertakan tajuk video tersebut sebagai rujukan..

TQ
' Macam-macam Malaysia'

Monday, October 8, 2007

Tidakkah Rasa Berdosa Menghina Sesama Islam?

Assalamualaikum...

Terasa bertanggungjawab untuk sekali lagi menulis di sini..Sebelum itu saya sendiri memohon ampun dan maaf pada Allah yang Maha Baik lagi Maha Pengampun jika ada niat yang sebaliknya selain semata-mata untuk ingat-mengingatkan antara kita semua.

Tulisan ini adalah pengkongsian rasa setelah membaca HarakahDaily.net yang mendedahkan pelbagai berita dan isu semasa. Hampir setiap berita terutama surat pembaca dibenarkan untuk pembaca lain memberi ulasan atau komentar. Dalam satu-satu tulisan, memang banyak ulasan daripada pembaca yang ada kalanya mencecah 3,4 mukasurat. Ada ulasan yang pendek, ada yang panjang. Tapi malang seribu kali malang kerana banyak ulasan yang ditinggalkan di HarakahDaily.net berbaur hinaan dan cercaan. Cercaan itu bukan untuk musuh-musuh Islam seperti Yahudi dan Israel yang sungguh-sungguh menghancurkan Islam, tetapi kepada rakyat senegara, kawan-kawan seagama, yang sama-sama mempercayai Allah itu Tuhan yang wajib disembah. Malu rasa hati untuk membaca ulasan-ulasan begitu. Timbul rasa tidak tenang terhadap nafsu mereka yang menulis ulasan-ulasan sebegitu. Bukan begitu yang Tuhan mahukan.. Ada yang menggunakan tajuk 'Pejuang Islam', tapi kata-katanya tidak menggambarkan dia seorang pejuang Islam. Seorang pejuang Islam amat mengharapkan keamanan dan kesejahteraan terhadap manusia lain sekalipun musuhnya sendiri. Seorang Pejuang Islam amat-amat mendoakan orang lain jika orang lain itu berbuat salah dan dosa. Seorang Pejuang Islam itu tidak akan duduk diam jika ada kawan-kawan Islamnya tidak patuh dengan Allah, maka dia akan tidak henti-henti untuk menasihati kawan-kawannya itu agar bersama-sama bertaubat daripada kesalahan. Itulah sedikit ciri-ciri Pejuang Islam yang sebenarnya banyak lagi. Yang Rasulullah telah tunjukkan sepanjang hayatnya.

Menghina sesama Islam bukanlah satu sikap yang baik malah bertentang dengan ajaran Islam itu sendiri. Islam Allah jadikan sebagai satu agama yang sepatutnya menjadi cara hidup seluruh umat manusia. Maksudnya seluruh manusia jika beragama Islam akan hidup dengan satu cara hidup yang selamat dan menyelamatkan. Selamat bagi diri mereka dan mereka menyelamatkan yang lain. Bukan satu pihak yang selamat, malah mereka berusaha menyelamatkan yang lain. Inilah Islam. Maka sudah tentulah Islam itu berbeza 100% daripada agama lain. Jadi kalau cara menegur orang lain sudah sama dengan cara hidup yang bukan Islam yakni dengan mencela, menghina, hendak bertumbuk, hendak dipukul kerana tidak puas hati, itu bukan Islam. Itu sudah pasti bukan cara daripada Allah yang Maha Pengampun. Tambahan pula yang cuba ditegur itu saudara se-Islam..Lagi jelas dan nyata itu bukan daripada Allah.

Kawan-kawan yang berniat baik hendak menjadi Pejuang Islam...

Ingatlah, Islam itu cantik. Yang cantik itu bukan mengikut kehendak kita, tapi mengikut kehendak Allah. Selidik balik sikap kita, jangan malukan Islam dengan menggunakan nama Islam. Kamu menggunakan nama Islam untuk menegur orang lain. Jadi orang akan menganggap beginilah rupanya Islam menegur. HarakahDaily.net merupakan surat khabar atau surat harian online bagi sebuah parti politik yang menggunakan nama Islam. Sepatutnya kita yang berada di dalamnya atau yang menyokongnya menjaga nama Islam itu. Bukan merosakkannya. Malu sepatutnya untuk kita berada dalam parti Islam yang sepatutnya menjadi wakil Islam, wakil agama Allah..Bukan calang-calang..Jadi kena jaga sungguh-sungguh nama Islam itu. Jangan di lacurkan!! Ini penting agar kita benar-benar jadi wakil agama Islam. Bukan jadi ajen perosak agama Islam!

Friday, October 5, 2007

Menang pilihan raya kampus, kena buang kolej? - From HarakahDaily.net

Menang pilihan raya kampus, kena buang kolej?
Abdul Basit Abdullah Wed Oct 03, 07 2:21:05 pm MYT

Menang pilihan raya kampus terus kena buang kolej, itulah kekecewaan seorang calon promahasiswa yang telah berjaya memenangi kerusi dalam Pilihanraya Kampus (PRK) UPM kali ini.

Nampaknya bagi calon promahasiswa akan mendapat hadiah buang kolej dari HEP yang diketuai Timbalan Naib Canselor, Dr Azali apabila menang pilihan raya. Akibat tidak berpuashati dan iri hati terhadap kemenangan calon promahasiswa yang tidak boleh dihalang lagi, Azali telah mengamalkan undang-undang rimba untuk menekan pihak kolej membuang pelajar tersebut.

Ini bukanlah taktik dan cara baru yang digunakan oleh Azali untuk menekan mahasiswa, perkara ini telah menjadi strategi utama Azali dalam menekan dan menindas mahasiswa. Tahun lepas sahaja hampir 38 orang ahli Persatuan Mahasiswa Islam UPM yang tidak bersalah dan aktif di Universiti telah diambil tindakan buang kolej ekoran terlibat dalam pilihan raya kampus.
Pembuangan pelajar ini termasuk 6 orang calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) promahasiswa yang baru sahaja memenangi pilihan raya kampus pada waktu itu. Dimanakah lagi nilaian demokratik yang ada di UPM apabila orang yang gila kuasa memegang ketua yang mengendalikan hal ehwal pelajar. Lalu, terus diamalkan undang-undang rimba untuk menekan mahasiswa.

Signifikannya isu ini, kita perlu lihat dari skop yang luas. Pertama, amat tidak wajar calon MPP yang menang dalam pilihan raya kampus dilayan sebegitu rupa tidak kiralah dia kumpulan Aspirasi yang menjadi kuda tunggangan Umno atau promahasiswa. Mereka berhak mendapat penghormatan dan penghargaan kerana telah berjaya mengharungi cabaran dalam pilihan raya kampus kali ini.

Keduanya, sikap yang diambil oleh pihak kolej membuang pelajar yang berkaliber amat tidak profesional dan memalukan. Ini kerana, calon yang menang dalam pilihan raya kampus terbukti berkaliber sebab itu mereka telah diberi kepercayaan oleh mahasiswa. Mengapakah pihak kolej sanggup diperkudakan oleh Azali? Sanggup mengkhianati pelajar Melayu Islam yang sepatutnya dijaga kebajikannya bukannya dibuang kolej sesuka hati.

Perkara yang ketiga, membuang pelajar yang telah dilantik menjadi oleh tangan mahasiswa merupakan pencabulan demokrasi kampus yang cukup menyedihkan. Mereka ini Majlis Perwakilan Pelajar amat wajar terus dibenarkan tinggal di Kolej kerana sebagai wakil mahasiswa, mereka perlu duduk bersama mahasiswa untuk mendengar segala rintihan mahasiswa.

Kelima, UPM sedang dan ada yang sudah mendapat ISO 9001, kalau macam inilah layanan mereka terhadap mahasiswa. Saya lihat wajar ditarik kembali ISO 9001 kepada mereka kerana layanan mereka terhadap mahasiswa yang menjadi pelanggan mereka amat teruk.
Konklusi daripada kes ini membuktikan bahawa demokrasi kampus benar-benar telah dicabuli oleh tangan-tangan raja rimba yang mengguna undang-undang rimba. Raja rimba ini sepatutnya tidak campurtangan dalam urusan mahasiswa sampai peringkat mengarahkan pengetua kolej membuang pelajar yang tidak sehaluan. Raja rimba ini sepatutnya tugas utama dia diamanahkan di jawatan TNCHEP bukan untuk menindas pelajar tetapi untuk membantu kebajikan pelajar.

Kalau inilah yang berlaku, betul seperti kata pengerusi GMPS, Azali sepatutnya tempatnya bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, tengok diri betul-betul bagus atau kuat kerana menjadi TNCHEP semata-mata.

Pangkat dan darjat suatu yang pasti akan hancur, yang kekal hanya amal kebajikan kita.

Respon daripada Siswa Ajaib;

Demokrasi...Demokrasi...
Lumrah atau darah daging sistem pemilihan ketua atau wakil di negara Malaysia yang indah lagi tercinta ini..
Sedikit yang hendak di katakan..
Islam itu syumul dan sudah cukup lengkap sepeninggalan Junjungan Besar Muhammad Penutup segala Rasul..
Rasulullah berjuang bersama sahabat bermati-matian tanpa sedikit pun mengambil cara atau sistem musuh pada masa itu. Pernah rasulullah dipanggil oleh pemerintah di waktu itu, Abu Jahal dan teamnya, mahu Rasulullah memberhentikan dakwahnya dengan ditawarkan pangkat, harta dan isteri yang cantik tapi Rasulullah bulat-bulat menolaknya. Kerana tak mahu menggunakan sistem musuh kerana Rasulullah dan Sahabat dibantu Allah. Dan Allah menjanjikan Islam itu ada cara tersendiri. Kalau nak ikut logik, baik Rasulullah terima tawaran itu dan setelah diberi pangkat pemerintah, tukar dan aturlah Mekah ketika itu. Tapi Rasulullah tidak bersekonkol dengan sistem dan cara musuh Islam.
Kita sama berniat baik mahu memperjuangkan Islam agar Islam benar-benar jadi sistem hidup. Taoi dalam tak sedar kita telah berjuang menegakkan Islam melalui jalan yang bukan jalan Islam. Sejarah perjuangan pejuang-pejuang Islam tak pernah sekali pun melalui jalan demokrasi. Demokrasi yang memilih majoriti sebagai pemenang. Allah sebut dalam Quran "Sedikit di kalangan hamba-Ku yang bersyukur...". Kalau begini yang Allah sebut bermakna memang tidak ada peluang orang-orang yang bersyukur menang dalam mana-mana pemilihan kerana mereka golongan yang sedikit, bukan golongan majoriti!

Allah ada cara sendiri nak menangkan Islam yang tak perlu bergantung atau meniti jalan Barat. Demokrasi ini di asaskan oleh Barat, oleh musuh Islam. Takkan Allah tidak ada caranye tersendiri untuk memenangkan agama-Nya? Mengapa kita perlu sibuk-sibuk mengikut jalan Barat dalam nak perjuangkan Islam? Cuba fikirkan..Berdoa, merintih dan minta dengan Allah jalan yang sepatutnya untuk Allah menangkan Islam..

Niat kita juga kena betul. Nak menangkan Islam, bukan nak menangkan parti, kumpulan atau bangsa dan kaum..Kita nak Islam itu gemilang..Menjadi cara hidup manusia!